Friendly

Skuad muda Jerman benam Rusia

LEIPZIG, Jerman: Barisan pemain muda Jerman mudah menewaskan Russia 3-0 dalam aksi persabahatan, awal pagi tadi dengan jurulatihnya, Joachim Loew ketika ini sedang membina semula pasukan itu susulan kegagalan pada kempen Piala Dunia 2018.



Pemain sayap Manchester City, Leroy Sane dan dua bintang Bayern Munich, Niklas Suele dan Serge Gnabry masing-masing meledak satu gol pada babak pertama perlawanan bagi memastikan kemenangan buat skuad bimbingan Loew.

“Kami boleh berpuas hati dengan kemenangan ini. Kami berada pada tahap prestasi terbaik pada babak pertama perlawanan.

“Kami agak pasif selepas waktu rehat tetapi kami masih memenangi perlawanan. Usia pemain dalam pasukan tidak penting, jika dilihat pemain seperti Kai (Havertz), dia baru berusia 19 tahun tetapi bermain dengan baik,” kata Gnabry.




Ini adalah kemenangan terbesar Jerman dan yang paling menyakinkan pada 2018 – tahun yang menyaksikan pasukan itu mengalami enam kekalahan.

Kemenangan itu sudah pastinya memberi suntikan semangat buat anak buah Loew yang akan bertemu Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi Selasa ini.

Jerman yang menghuni tangga tercorot Kumpulan Satu Liga A ketinggalan dua mata di belakang Belanda yang akan bermain menentang Perancis di Rotterdam, awal pagi esok.

Loew sebelum ini menegaskan saingan Liga Negara-Negara Eropah cukup penting buat dirinya dalam usaha membina semula reputasi Jerman yang tercalar ketika kempen Piala Dunia di Russia. – AFP



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!