Liga Malaysia

Syahmi aset berharga Red Giant

Related image

KUALA LUMPUR: Persembahan ‘memukau’ tonggak pertahanan kanan skuad Harimau Malaya, Syahmi Safari sepanjang saingan Piala AFF 2018 diharapkan terus kekal dalam kempen bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) sekali gus membantu Selangor memburu trofi saingan domestik.

Pengendali Red Giants, B Sathianathan antara individu yang mengikuti rapat perkembangan Syahmi di Piala AFF, mengakui pemain kelahiran Jeram, Kuala Selangor itu aset berharga buat skuad Merah Kuning.



Katanya, gol cantik dilakukan Syahmi ketika menentang Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok membuktikan dia seorang pemain ‘serba boleh’ apabila mampu bertahan dengan baik dan juga meledak jaringan.

“Ya, saya cukup tertarik dengan permainan Syahmi di saingan Piala AFF. Dia masih muda dan saya lihat Syahmi ada masa depan cukup cerah dan akan jadi aset buat Selangor.

“Saya harap dia akan terus bermain baik kerana tidak lama lagi liga (Liga-M) akan bermula dan saya akan cuba mengasah lagi permainannya dalam latihan,” katanya.

Syahmi, 20, yang memulakan kariernya bersama skuad remaja Selangor kini muncul antara tonggak utama skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Aksi mantapnya di sebelah kanan sering mengucar-kacirkan pertahanan lawan apabila kerap naik untuk membina serangan dengan melakukan hantaran silang yang mengelirukan pihak lawan.

Dia juga berjaya mencetak gol pertamanya di peringkat antarabangsa menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti ketika menentang Thailand yang menyaksikan golnya itu bakal disenaraikan dalam Anugerah Puskas FIFA tahun depan.

Dalam aksi itu, Malaysia berjaya mengenepikan skuad Gajah Perang untuk mara ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan dengan agregat 2-2 sebelum tumbang kepada Vietnam menerusi keputusan 3-2 secara agregat di final.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!