La Liga

Hatrik Messi benam Betis

MADRID: Lionel Messi sekali lagi menjaringkan hatrik menakjubkan dalam kemenangan 4-1 Barcelona ke atas Real Betis dan semakin hampir untuk menjulang trofi La Liga.

Hatrik Messi itu, yang kedua dalam tempoh sebulan di Seville, keempat musim ini dan ke-51 kariernya, meletakkan Barca 10 mata selesa di depan Atletico Madrid dengan 10 perlawanan berbaki, jurang yang sukar untuk dikejar pesaingnya itu.



“Kami mempunyai peluang untuk melebarkan jurang ke atas Atletico,” kata Messi. “Kami perlu memanfaatkannya malam ini.”

Luiz Suarez yang membuat umpanan menarik untuk gol kedua Messi, turut menjaringkan gol menerusi larian solo, tetapi kemudian terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali.

Messi kini mengumpul 29 gol liga musim ini, 39 dalam semua pertandingan, dan gabungan dengan 18 gol liga Suarez menyaksikan jumlah 47 gol itu menyamai atau melebihi jaringan setiap pasukan La Liga, kecuali Real Madrid dan Levante yang masing-masing mengumpul 49 gol.

Aksi Messi bukan saja mendapat tepukan penyokong Barca, malah penyokong Betis turut berdiri dan memberikan tepukan di atas persembahan hebat bintang Argentina itu.




“Saya tidak ingat bila kali terakhir jaringan saya mendapat tepukan pihak lawan, saya amat berterima kasih,” katanya.

Kemenangan ini ibarat amaran buat Manchester United, yang akan berdepan mereka pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara bulan depan.

Dengan final Piala Raja Sepanyol sudah dalam genggaman, di mana Barca akan kembali ke stadium ini untuk bertemu Valencia pada Mei, gelaran treble dilihat bukan sesuatu yang mustahil buat anak buah Ernesto Valverde. – AFP



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!