Harimau Malaya

Cheng Hoe uji barisan kedua

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini menjadi peluang terbaik buat pemain yang jarang diturunkan dalam skuad kebangsaan untuk membuktikan keupayaan mereka.

Ketua Jurulatih, Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka menguji pemain yang kurang beraksi atau belum pernah diturunkan dalam skuad itu ekoran kecederaan beberapa tonggak utama.


Pemain seperti Nor Azam Abdul Azih, J. Partiban, Brendan Gan, Abdul Halim Saari serta pemain pertahanan, Shahrul Mohd. Saad bergelut dengan kecederaan, dan kini penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pula mengalami masalah pangkal paha.

Situasi itu membuka ruang kepada Cheng Hoe untuk menguji pemain lain, terutama pemain tengah Sabah, Mohd. Azizan Nordin yang kembali menyarung jersi kebangsaan selepas setahun tersisih bagi menggalas tanggungjawab sebagai perancang tengah.

“Muhammad Shahrel cedera dalam latihan semalam. Kita kena pantau kecederaannya sama ada boleh diturunkan bertemu Sri Lanka. Apa pun, kena tunggu laporan perubatan pasukan.

“Sebagai jurulatih, kita harus memberi peluang kepada setiap pemain yang bersama kita. Mereka sudah pasti tahu corak permainan pasukan dan pada masa sama, saya selalu mengingatkan mereka supaya jangan berasa tertekan apabila diturunkan tetapi menggalas tugas dengan sempurna dalam setiap perlawanan.




“Menjadi tanggungjawab saya sebagai jurulatih untuk mencari alternatif atau pilihan lain, apabila berdepan masalah seperti ini. Secara keseluruhan, pemain dilihat komited dalam latihan,” katanya pada sesi latihan skuad kebangsaan di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Aksi persahabatan itu adalah sebagai pemanas badan sebelum menghadapi cabaran sengit Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober ini dalam perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pengendali berusia 51 tahun itu mahu barisan pemainnya mengekalkan momentum perlawanan, kecergasan dan meningkatkan keyakinan, selepas kalah tipis 1-2 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan lalu.




Cheng Hoe juga yakin kehadiran pemain pertahanan berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak, mampu memperkukuh bahagian pertahanan, apabila gawang negara dibolosi lima kali dalam tiga perlawanan sebelum ini, iaitu apabila tewas tipis 0-1 kepada Jordan dan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia sebelum aksi menentang UAE itu.

“Pertahanan kena terus tingkatkan prestasi kerana statistik bolos agak besar juga dan tidak memuaskan. Bahagian serangan juga harus dipertingkatkan kerana kita cipta banyak peluang, tetapi tidak menjaringkan begitu banyak gol,” katanya. – BERNAMA



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!