FAM

Pengadil kita tidak teruk – FAM

Md. Dali (tengah) ketika sidang akhbar  Mesyuarat Khas Jawatankuasa

PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md. Dali Wahid menjelaskan mutu pengadilan di Malaysia tidak seteruk seperti yang diperkatakan, selepas kontroversi gol kedua Selangor ketika bertemu Perak dalam kempen Piala Malaysia baru-baru ini.


Menurutnya, sebagai bukti, ramai daripada kalangan pengadil tempatan telah dipanggil untuk mengadili perlawanan liga di Timor-Leste, Vietnam serta Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selain turut mendapat pengiktirafan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Justeru, Md. Dali mengesahkan bahawa FAM akan menurunkan khidmat pengadil tempatan pada aksi final Piala Malaysia 2 November depan, namun identiti pengadil tersebut belum boleh didedahkan.

“Jujurnya, saya ingin katakan bahawa apabila final Piala Malaysia akan berlangsung sebulan dari sekarang (2 November), kita akan kekalkan pengadil dari Malaysia dan individu tersebut belum boleh diberitahu lagi ketika ini.




“Jadi apa yang boleh saya katakan ialah persembahan (mutu) pengadil kita tidaklah terlalu teruk dan saya katakan ini bukan kerana saya mahu mempertahankan mereka.

“Semua kena ingat, ramai pengadil yang kita ada turut terlibat dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 iaitu Suhaizi Shukri, Muhammad Nazmi Nasaruddin, Amirul Izwan termasuk Razlan Joffri Ali dan begitu juga dengan empat lagi pembantu pengadil,” katanya selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengadil FAM semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai gol kontroversi pada suku akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dan Perak, Md. Dali menjelaskan, pihaknya tidak boleh memberi sebarang keputusan sama ada jaringan kedua skuad Gergasi Merah menerusi Khyril Muhymeen Zambri adalah ofsaid atau sebaliknya, ekoran sudut video sedia ada tidak banyak membantu dalam proses penilaian.




Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pembantu pengadil, Azman Ismail dalam keadaan teragak-agak untuk membuat keputusan disebabkan kedudukannya yang tidak selari dengan insiden berkenaan.

“Sudut video tersebut tidak membantu kami untuk membuat keputusan sama ada ia ofsaid atau tidak.

“Terdapat kecuaian yang dilakukan oleh pembantu pengadil dalam kedudukannya dan dia teragak-agak untuk membuat keputusan. Insya-Allah, kita akan ambil tindakan dan sebarang hukuman terhadapnya akan kami bincangkan serta maklumkan kemudian,” katanya.



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!