Harimau Malaya

Pengiktirafan buat saya – Aidil

ADIL ZAQUAN ABDUL RADZAK (kanan) dan  jurulatih Harimau Malaya,

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pemain berpengalaman, Aidil Zafuan Abdul Radzak menyifatkan dipanggil semula membarisi skuad Harimau Malaya adalah pengiktirafan tertinggi buat dirinya untuk terus menabur bakti bersama skuad kebangsaan.

Pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 32 tahun itu yang dipanggil semula Tan Cheng Hoe dalam senarai 27 pemain bagi sesi latihan pusat skuad negara bertekad, membalas kepercayaan diberikan pengendali skuad Harimau Malaya itu dengan berusaha membantu Malaysia membenam Sri Lanka pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.


Perlawanan berkenaan merupakan persediaan yang dirangka Cheng Hoe sebelum Malaysia menghadapi Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Okt ini.

“Memang kecewa apabila tidak dapat bersama rakan sepasukan apabila berjuang di tengah padang, dan sebagai pemain, kita kena terima perkara itu dengan positif, dan perlu bekerja keras untuk meraih kembali tempat dalam skuad utama.

Perasaan apabila tengok rakan sepasukan beraksi menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas membuat saya teruja untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan, dan terima kasih kepada jurulatih (Cheng Hoe) yang memberi peluang kepada saya,” kata Aidil Zafuan dalam sidang akhbar praperlawanan Malaysia menentang Sri Lanka di Bukit Jalil hari ini.




Pada masa sama, pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu berharap kehadiran beliau dapat membantu barisan pertahanan Harimau Malaya mengekang serangan pantas yang bakal ditampilkan jentera serangan Vietnam pada aksi di Hanoi nanti.

Kali terakhir Aidil Zafuan beraksi bersama skuad kebangsaan adalah sewaktu Malaysia tewas dengan agregat 2-3 kepada Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh pada 15 Disember lalu.

Beliau juga telah mencatat 82 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan sejak 2007.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menegaskan aksi pemanas badan menentang Sri Lanka menjadi medan terbaik untuk dirinya bagi mengenal pasti kesebelasan utama yang bakal diturunkan untuk aksi berdepan Vietnam.




Pengendali berusia 51 tahun itu turut memaklumkan beliau tidak akan memanggil pemain baharu dalam skuad 27 pemain, walaupun beberapa pemain utama dilaporkan masih bergelut dengan kecederaan yang dialami sewaktu membantu pasukan masing-masing dalam kempen Piala Malaysia.

“Bagi perlawanan menentang Sri Lanka, kita semestinya mengharapkan keputusan positif, di samping menjadi medan terbaik kepada pemain mendapatkan semula momentum cemerlang yang dipamerkan dalam aksi berdepan Indonesia dan UAE,” kata Cheng Hoe yang tidak menolak kemungkinan memberi peluang kepada beberapa pemain muda untuk aksi berdepan Sri Lanka, malam esok.

Malaysia kini menduduki tangga ketiga Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 setelah mengutip tiga mata daripada dua perlawanan setakat ini.

Pada perlawanan sulung berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Malaysia mencatat kemenangan 3-2 sebelum tumpas 1-2 kepada UAE dalam aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil. – BERNAMA



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!