Liga Malaysia

Kelantan United ‘hiburan’ terkini rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang

KOTA BHARU 5 Okt. – Ketika rakyat Perlis merindui cahaya lampu limpah Stadium Utama Negeri di Kangar yang ‘terpadam’ setelah Sang Singa Utara terkeluar dari Liga Malaysia (Liga M), peminat sukan bola sepak di negeri ini lega kerana nasib mereka berbeza.



Rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang ini boleh dikatakan bertuah kerana pasukan berstatus kelab, Kelantan United menjadi ‘penyelamat’ yang memastikan lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV terus terang-benderang.

Kehadiran pasukan yang terkenal dengan slogan ‘Kita Sahut, Kita Lawan’ itu tepat pada masanya di saat bahtera The Red Warriors (TRW) seakan-akan ‘karam’ dipukul gelombang kewangan yang kronik ketika ini.

Tambah menarik, Kelantan United tampil dengan himpunan pemain berbakat yang pernah membarisi skuad TRW sebelum ini termasuk ‘Captain Marvel’ Mohd. Badhri Radzi atau Piya.





Hasilnya, pasukan itu kini berada di kemuncak saingan Liga M3 ketika ini, sekali gus membangkitkan semula nafsu orang Kelantan untuk kembali memenuhkan Stadium Sultan Muhammad IV.

Jangan terkejut jika melihat penyokong membanjiri venue perlawanan setiap kali Kelantan United beraksi termasuklah ketika bermain di Lembah Kelang.





Peminat nyata teruja melihat ketajaman penyudah pasukan itu yang sudah mengumpul 93 jaringan sepanjang aksi Liga M3 dan saingan Piala FA 2019.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, rakyat Kelantan kini sudah ada cara tersendiri untuk melepaskan tekanan, iaitu bersorak gembira di stadium setiap kali Kelantan United meledak jaringan dan mencipta kemenangan.

Berbaki lima perlawanan, Kelantan United kini berapa di kedudukan terbaik untuk merangkul kejuaraan liga, dan seterusnya layak ke saingan Liga Perdana 2020. – UTUSAN



0

Most Popular

BERITA BOLA SEPAK SELURUH DUNIA

Copyright © 2017-2018 ArenaBolaSepak.MY

To Top
error: Content is protected !!